Mengharap hidup itu lebih indah

Tuesday, January 05, 2010

Salam Perjuangan..

Selepas menjalani kehidupan sepanjang tahun 2009, maka kesimpulannya ialah 'Hidup itu indah.' Bukanlah sepanjang tahun 2009 itu tidak ada tragedi atau perkara-perkara yang menyusahkan hati. Kematian, bencana, kemalangan, kesilapan dan pelbagai perkara yang tidak disukai berlaku sepanjang tahun 2009. Seperti juga dengan tahun-tahun sebelumnya. Sememangnya ada tahun yang dianggap lebih baik, dan ada yang kurang baik.
Lain orang, lain pengalamannya. Mungkin bagi sebahagian orang, 2009 lebih baik daripada tahun terdahulu. Tetapi tidak pula bagi orang lain. Apa yang berlaku, baik disukai atau tidak adalah takdir. Hukum alam yang telah ditentukan oleh Allah SWT menjadikan sebab akibat yang sebegitu rupa hinggalah ia menghasilkan sesuatu kejadian.

Kebahagiaan

Mesej semua agama adalah kebahagiaan. Agama mengajar manusia supaya bersikap positif. Dengan adanya agama, seseorang itu akan dapat mengelak diri daripada bersedih. Dua sikap yang mampu menghalang seseorang daripada bersedih ialah sabar dan bersyukur. Cakap memang mudah. Sabarlah. Bersyukurlah. Tetapi bagi yang menanggung kesusahan dan keperitan, kata-kata itu seperti hanya menambah kesakitan. Tetapi nasihat itu tetap mempunyai kebenaran. Jika minda dapat dialihkan perhatian daripada kesusahan dan keperitan itu kepada menghayati nasihat sabar dan syukur, pasti kesannya adalah besar.

Justeru, terhadap apa yang telah berlaku pada tahun 2009, seseorang harus melihatnya dari kaca mata gembira, positif dan kesyukuran. Begitu juga dengan apa yang ada pada apa yang dijangka akan dihadapi pada tahun 2010. Harapan dan sikap optimis akan membawa seseorang itu berasa bahagia. Tidakkah Islam mengajar manusia supaya tidak putus harap, dan wajar sentiasa bersangka baik tentang masa depan? Semoga harapan & impian pada tahun 2010 tercapai & semoga 2010 adalah tahun yang membawa barakah kepada semua insan.

“Sesungguhnya Allah swt tidak akan menguji ‘Hamba-Nya’ melangkaui kesanggupan hamba-Nya”